Oleh: Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Isu filem Fitna yang mencerca islam menarik perhatian ramai umat Islam termasuk umat Islam di Malaysia. Pelbagai pihak mengemukakan tindak balas mereka. Ada yang menerusi perkataan. Ini boleh diperhatikan menerusi akhbar, blog, laman web, sms yang disebarkan dan percakapan seharian. Ada pula menerusi perbuatan. Antara perbuatannya ialah berdemonstrasi membantah filem tersebut. Alhamdulillah semua respon ini menunjukkan bahawa majoriti umat islam masih sensitif dengan perkara-perkara yang melibatkan kehormatan Islam. Masih berbaki iman umat ini untuk mengengkari kemungkaran. Mereka masih mengenali erti kemungkaran.

Namun, marilah kita merenung lebih jauh……

PERTAMA : pertembungan antara kebenaran dan kebatilan

Hakikatnya, kebenaran dan kebatilan akan sentiasa bertentangan sampai ke akhir zaman. Golongan yang kufur akan memperjuangkan kekufuran mereka. Orang yang beriman tentulah memperjuangkan keimanan mereka. Allah berfirman:

الَّذِينَ آَمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

Maksudnya: “dan orang yang beriman berperang di jalan Allah. Dan orang-orang kufur berjuang di jalan taghut. maka perangilah pembantu-pembantu syaitan. sesungguhnya tipu daya syaitan itu sangat lemah” (al-Nisa’, ayat 76)

Ayat ini menegaskan hakikat kewujudan dua golongan yang sentiasa bertentangan. Golongan yang membawa panji kebenaran dan golongan yang mendokong panji kesyaitanan. Tinggal lagi ialah tanggungjawab golongan beriman untuk memerangi golongan pembantu syaitan. Mudah-mudahan respon umat terhadap tindakan Geert Wilders menjadi mukaddimah perjuangan memerangi pejuang syaitan dan agenda syaitan.

Hakikat yang perlu diakui ialah golongan yang kufur dan menyerang Islam wujud sejak dulu dan mereka tidak akan pupus sehingga ke akhir zaman. Selagi adanya syurga dan neraka, selagi itulah ada golongan bakal penghuni syurga dan penghuni neraka.

Selagi ada syurga dan neraka selagi itulah akan ada pejuang agenda ke syurga di dunia ini dan pejuang agenda ke neraka.

Serangan pejuang agenda ke neraka terhadap islam jelas dapat diperhatikan dalam sirah Rasulillah saw dan juga perjalanan hidup para anbiya’ sepanjang zaman.

Justeru, kita tidak merasa pelik jika lahir seorang seperti Geert Wilders ahli parlimen Belanda. Malah sebenarnya kita tidak juga pelik sekiranya lahir ribuan lagi orang seperti Geert Wilders. Kerana Geert Wilders hari ini hanyalah klon kepada Geert Wilders yang telah lahir sepanjang sejarah manusia, dan dia nanti akan diwarisi oleh Geert Wilders abad mendatang. Maka bersedialah wahai umat untuk menghadapi Geert Wilders hari ini, Geert Wilders hari esok dan ribuan lagi Geert Wilders hari-hari mendatang.

Jangan undur ke belakang, atau sedetik mencari kerehatan daripada menentang Geert Wilders-Geert Wilders ini…

KEDUA : bertindak kerana kesombongan bukannya kejahilan

Golongan Geert Wilders ini ada yang bertindak kerana kejahilan tentang hakikat islam. Yang lebih ramainya ialah yang bertindak kerana kesombongan dan keangkuhan SETELAH MENYEDARI KEBENARAN ISLAM. Inilah punca kesesatan Iblis. Bukannya Iblis tidak mengetahui kebenaran Adam. Bukannya tidak menyedari kebenaran Tuhan, tetapi kesombiongan dan keangkuhan mendorong kepada penentangan terhadap perintah Tuhan.
Allah menegaskan:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: ‘dan ingatlah ketika Kami (Allah) berfirman kepada para Malikat sujudlah kamu kepada Adam , maka mereka semua sujud kecuali Iblis. DIA ENGGAN DAN BERSIKAP ANGKUH SERTA BESAR DIRI.MAKA DIA TERGOLONG DI KALANGAN ORANG YANG KUFUR ENGKAR” (Baqarah, ayat 34)

Lihatlah penentangan Iblis yang menjadi syaitan bukan kerana tidak mengerti tetapi kerana kesombongan. Begitulah, saya tidak menjangkakan Geert Wilders melakukan apa yang dilakukan kerana kejahilan tentang hakikat kebenaran islam, tetapi kerana keangkuhan dan kesombongan.

Kerana itu saya kurang bersetuju dengan mereka yang menyatakan, kita perlu tangani isu Geert Wilders- ini dengan menjelaskan kepadanya hakikat sebenar islam. Sumber maklumat tentang islam telah bersepah dalam internet dan sangat mudah untuk diperolehi dalam bentuk bahan bacaan bertulis. Seorang yangbijak seperti Geert Wilders ini tidak dapat saya bayangkan dia tidak meneliti dan mengkaji bahan-bahan ini.


Tetapi untuk berlaku lebih adil, cubalah golongan yang mencadangkan agar penjelasan tentang islam disampaikan kepada Geert Wilders mengusahakan satu pertemuan dengan beliau dan satu majlis penerangan. Mudah-mudahan boleh melunakkan hatinya!!!!????

KETIGA: Geert Wilders Malaysia!!

Sekali lagi saya tegaskan, janganlah merasa pelik dengan kehadiran Geert Wilders hari ini. Tetapi yang boleh kita rasa pelik ialah dua keadaan. Pertamanya golongan yang mengaku islam tetapi memperjuangkan syaitan atau Geert Wilders atau yang seumpama dengannya
Kedua golongan yang mengaku beriman tetapi tidak berjuang untuk Islamnya dan menentang “kelompok Geert Wilders” ini.

Kita boleh juga merasa pelik terhadap seorang yang mengaku muslim tetapi mempunyai pemikiran dan prejudis terhadap islam seperti Geert Wilders. Malah bertindak seumpama tindakan Geert Wilders.

Jangan kita lupa dan cuba menyembunyikan hakikat bahawa kita sebenarnya mepunyai tidak sedikit “Geert Wilders Versi malaysia”

Sedarkah kita, dalam keghairahan kita melaungkan usaha memboikot barangan Belanda yang tiada kaitan dengan Geert Wilders kita masih mendokong dan menyokong program-program seumpama yang dibuat oleh “Geert Wilders Malaysia”. Adakah kita buta dengan filem-filem yang wujud dan disiarkan di rangkaian televisyen nasional yang menjolok mata dan jelas merendahkan martabat muda mudi Islam dengan pelbagai aksi. Filem dan drama yang menyindir pemakaian Islam, para pendakwah dan amalan Islam diarah oleh orang Islam Malaysia.

Kerana itu saya menegaskan: Kita mempunyai tidak sedikit “Geert Wilders Malaysia”. Mereka dinobatkan menerusi program penganugerahan rasmi yang diiktiraf oleh pihak berkuasa dengan kehadiran menteri yang berkuasa….Konsert-konsert yang menjadi tontonan umat islam yang dipersembahkan oleh muda mudi islam dengan pakaian barat yang mengancam jati diri islam. inilah “Geert Wilders Malaysia”. Tidakkah kita wajar memboikot mereka!!!!!!

Akhbar, Majalah, dan bahan bacaan murahan yang bersepah di kaki lima bangunan di seluruh malaysia, -yang juga pastinya mendapat tempat juga di seumpama Pesta Buku Islam Antrabangsa Kuala Lumpur 2008 yang sedang berlansung sekarang- menjadi penyubur kepada kelahiran ribuan manusia 10 tahun akan datang yang boleh kita gelar nanti sebagai “Geert Wilders Malaysia”.

KEEMPAT: Keadilan dalam Memboikot Barangan Belanda

Golongan yang kufur ini dua golongan. Satu yang kufur tetapi tidak menentang Islam. Kedua yang kufur dan menentang Islam samada secara terang-terangan atau secara diam-diam.

Pada yang tidak menentang Islam, wajarlah mereka dilayani dengan cara baik dan diberikan keadilan dan hak mereka.

Allah berfirman:

لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu keluar, untuk kamu berbuat baik kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah cintakan orang yang berlaku adil.” (surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Persoalannya, program memboikot barangan Belanda dengan beberapa senarai yang disebarkan menerusi sms adakah ditujukan kepada golongan yang menentang Islam atau yang tidak menentang Islam??? Siapakah yang akan terpalit dan merasai kesannya? Golongan yang menentang atau golongan yang tidak menentang??? Persoalan ini perlu dirungkaikan….

http://syeikh-takiri.blogspot.com/