Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 14 April – Jumlah pengeluaran daging babi pada tahun 2006 ialah 210,510 tan, melebihi keperluan masyarakat bukan Islam tempatan iaitu hanya 197,513 tan.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), lebihan pengeluaran itu ialah sebanyak 12,997 tan.

Jumlah permintaan daging babi berkenaan, membabitkan 155,884 tan di Semenanjung Malaysia, 10,009 tan (Sabah) dan 31,620 tan (Sarawak).

Pengeluaran pula membabitkan 168,356 tan di Semenanjung Malaysia, 9,914 tan (Sabah) dan 32,240 tan (Sarawak).

Perangkaan pada tahun itu menunjukkan wujud perbezaan ketara dengan pengeluaran daging lembu di negara ini yang hanya berjumlah 31,885 tan.

Jumlah itu adalah amat sedikit berbanding permintaan besar terhadap daging lembu oleh orang ramai iaitu sebanyak 146,373 tan.

Dalam pada itu, perangkaan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pula menunjukkan nilai pengeluaran daging babi di Malaysia adalah lebih besar berbanding lembu dan kambing.

Berdasarkan perangkaan tahun 2006, nilai keseluruhan daging babi yang dikeluarkan di peringkat ladang ialah RM1.4 bilion berbanding lembu RM569 juta dan kambing RM42 juta.

Harga daging babi di peringkat ladang juga lebih mahal iaitu RM5.90 sekilogram berbanding ayam hanya RM4 sekilogram.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPH, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin dalam satu kenyataan baru-baru ini menjelaskan, Malaysia sudah menghentikan pengeksportan daging babi berikutan langkah kerajaan mengamalkan dasar pengeluaran untuk keperluan dalam negara.

Eksport itu yang hampir keseluruhannya untuk pasaran Singapura dihentikan pada tahun 1999.

Mengenai jumlah ladang ternakan babi di seluruh negara, katanya, terdapat sebanyak 870 ladang babi yang mana 666 di Semenanjung Malaysia, 53 (Sabah) dan 151 (Sarawak).

”Jumlah ternakan babi pula ialah 1.8 juta ekor iaitu 1.5 juta di Semenanjung Malaysia, 70,000 di Sabah dan 290,000 di Sarawak,” ujarnya.