Sumber: http://n32.blogspot.com

Berkahwin lebih dari satu sering menjadi tajuk perbualan rancak, tak kiralah sesama remaja, lebih-lebih lagi kalangan yang dewasa dan yang tua-tua. Ia bukan hanya menjadi bualan di kedai-kedai kopi, pusat-pusat hiburan malah di serambi masjid dan surau juga kadangkala. Lantaran Islam membenarkan poligami, namun tidak ramai pula menimbangkan secara serius syarat-syarat yang dikenakan ke atas mereka yang berniat untuk berbuat demikian, sekadar bersuka-suka membayangkan yang enak dan indah-indah belaka.

Walaupun ianya dibenarkan Islam dengan pelbagai syarat dan sememangnya merangsang naluri lelaki, namun tidak ramai yang tergamak mengamalkannya.

Saya secara peribadi merasakan diri saya tidak layak, apalagi menghayati ayat-ayat Allah yang terselit dengan syarat-syarat yang sangat berat itu. Allah swt berfirman:

…..maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja….. (an Nisa:3)

Memang nafsu sentiasa menghambat kehidupan seseorang lelaki normal, dengan lampu hijau yang diberikan, apakah nafsu semata-mata menjadi kriterianya? Bagaimana pula dengan keadilan yang merupakan prasyaratnya? Mungkin ada yang mampu berlaku adil, tetapi saya rasa saya tidak. Adil bukan sekadar berbahagi-bahagi hari sesama isteri, adil juga dari sudut nafkah belanja, bagaimana pula saikolgi anak-anak?

Saya tidak bermaksud mahu menyinggung mereka yang sedang mengamalkannya, teruskanlah selagi mana anda memenuhi syarat-syaratnya. Saya yang tidak mampu lalu kerana itu saya menyuarakannya di sini. Melihat wajah gembira Mohamed Nor Awang di dada-dada akhbar berserta tiga isterinya, saya hairan bagaimana beliau mampu? Mungkin dari sudut batinnya beliau serba mampu, tetapi dari aspek yang lain?

Terus terang saya nyatakan kadangkala saya merasakan saya tidak dapat berlaku adil terhadap anak-anak saya sendiri, ada yang lebih saya manjakan, ada yang kurang. Malah terhadap isteri saya yang seorang pun kadangkala saya merasakan saya berlaku tidak adil kepada beliau, terlalu membebankannya, membiarkannya menguruskan hal anak-anak dan rumah sedang saya sibuk dengan tugas-tugas saya. Oleh itu bagaimana mereka yang berpoligami, anak-anak dari isteri-isteri yang lain, bagaimana dengan percutian, bagaimana dengan pakaian, bagaimana dengan belanja, memang saya tidak boleh bayangkan.

Nabi Muhammad saw sebagai penghulu dan pemimpin kita memang tidak siapa pertikaikan, jangankan terhadap isteri-isteri Baginda malah kepada umatnya, di bawah bimbingan Allah swt beliau memang adil. Tetapi siapalah kita berbanding Baginda?
Kalau dengan pendapatan RM1,500 sebulan Mohamed Nor dapat hidup dengan adil dan sakasama menanggung 3 isteri dan 18 orang anaknya serta mahu menambah pula seorang lagi isteri, bagi saya memang beliau insan luar biasa yang perlu dicontohi mereka yang lain. Tetapi jika tidak, saya merasakan beliau hanya menyalah-gunakan kelonggaran yang diberi oleh Islam, sekaligus memberi kesan yang buruk kepada agama.