Apabila membicarakan tentang hadith, kita tidak dapat lari daripada menggunakan istilah ‘sanad’ dan ‘matan’. Bagi yang sudah terbiasa dengan istilah ini, pasti mereka tidak menghadapi masalah dalam memahami makna keduanya. Namun bagi sahabat-sahabat yang belum pasti atau belum tahu tentang makna kedua-dua istilah ini, berikut adalah penerangan ringkas untuk anda.

Untuk lebih mudah memahami apakah sanad dan matan, mari kita lihat contoh sebuah hadith berikut :

حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ قَالَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ قَالَ أَخْبَرَنِي مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيُّ أَنَّهُ سَمِعَ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ

قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

صحيح البخاري – )ج 1 / ص 3(

Hadith di atas dipetik daripada buku yang terkenal karya Imam al-Bukhari (wafat 256H) iaitu al-Jami’ al-Sahih atau lebih dikenali dengan nama Sahih al-Bukhari. Hadith di atas adalah hadith pertama dalam buku tersebut dan ia merupakan antara hadith yang paling popular dalam masyarakat. Berdasarkan hadith di atas, kita akan melihat maksud ’sanad’ dan ’matan’ dengan lebih dekat.

Dari segi bahasa, ’sanad’ membawa maksud : sandaran.

Secara istilah ahli hadith pula adalah jalan yang bersambung sampai kepada matan, rawi-rawi yang meriwayatkan matan hadits dan menyampaikannya.

Sanad dimulai dari rawi yang awal (sebelum pencatat hadits) dan berakhir pada orang sebelum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam yakni Sahabat.

Misalnya al-Bukhari meriwayatkan hadits di atas, rawi yang sebelum al-Bukhari dikatakan awal sanad (ALHUMAIDI ABDULLAH BIN ZUBAIR) sedangkan Shahabat yang meriwayatkan hadits itu dikatakan akhir sanad (UMAR BIN ALKHATTAB).

Di dalam contoh di atas sanad diwarnakan dengan warna merah.

Apakah kepentingan sanad dalam menerima sesuatu hadith? Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H) rahimahullah berkata: “Sanad itu termasuk dari agama, kalau seandainya tidak ada sanad, maka orang akan berkata sekehendaknya apa yang ia inginkan” [Syarah Sahih Muslim, anNawawi 1/87]. Kata-kata beliau merujuk kepada zaman periwayatan dan penyebaran hadith di mana hadith-hadith yang disebut perlukan sesuatu sandaran untuk dijadikan rujukan. Alhamdulillah, pada masa kini, sanad-sanad telah pun dibukukan dan kita telah pun menerima hasil kajian ulama salaf yang terdahulu untuk kita guna dan fahami. Semoga Allah SWT membalas jasa ulama terdahulu pada zaman periwayatan di atas jasa mereka mengumpulkan, menulis dan memelihara sanad-sanad hadith agar dapat difahami dan dikuasai oleh umat Islam selepas mereka.

Matan pula secara bahasa ertinya kuat, kukuh, keras.

Manakala, matan dari istilah ahli hadith ialah teks (isi, ucapan atau lafaz-lafaz) hadits

Di dalam contoh di atas, matan di warnakan dengan warna hijau.

Setiap kajian yang dilakukan oleh para ulama hadith pada dasarnya terbahagi kepada kajian terhadap sanad dan juga kajian terhadap matan. Dengan mengkaji sanad dan matan (secara bersama), maka para ulama dapat mengenal pasti sejauh mana sesuatu hadith itu benar-benar sahih. Kajian mereka terhadap kedua-dua bahagian ini menunjukkan dengan jelas ketelitian dan sikap berhati-hati mereka dalam menyampaikan hadith.

Wallahua’lam

Ibnuhazam

alitantawi