Assalamualaikum WBT

Ada yang berkata iman di hati, tiada kaitan dengan amalan. Maka popular ayat-ayat ini “Kami pakai seksi, tapi hati kami baik”, “Allah nilai taqwa kita, bukan pakaian kita.” Dan banyak lagi.

Tahukah kita bahawa ideologi ini adalah satu kesinambungan ideologi lama dahulu. Apa nama ideologi itu. Namanya Murjiah. Tak mengapa, posting kali ini bukan mahu berbicara tentang ideologi Murjiah. Posting kali ini ingin bercerita tentang tudung. Ya, tudung wanita untuk menutup aurat, bukan tudung untuk saji mahupun tudung periuk.

Baik! Saya menyatakan bahawa tudung adalah salah satu nilai aqidah kita. Jangan ada yang cuba mahu loyar buruk di sini berkata bahawa kalau pakai tudung, tapi baju sendat, singkat nampak pusat. Saya bercerita tentang tudung muslimah ya, lagipun normalnya orang Islam Melayu kalau nak tutup aurat mesti pakai tudung. Pakai tudung tak semestinya tutup aurat, tapi normalnya di Malaysia kalau nak tutup aurat mesti pakai tudung. Mesti difahami hal ini.

Kita orang Islam, bercerita tentang agama mestilah dengan sumber wahyu. Maka saya mahu bercerita apa yang al-Quran cerita.

Al-kisah di zaman dahulu kala, ketika Rasulullah SAW masih hidup di muka bumi ini, dan para sahabat dan sahabiah (sahabat-sahabat nabi yang perempuan) masih hidup bertebaran di muka bumi, maka turunlah satu ayat al-Quran. Ayat apa itu?

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُوْلِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah an-Nur:31)

Inilah di ayatnya. Mari kita lihat bagaimana reaksi-reaksi wanita di zaman itu.

Saidatina Aisyah RA menceritakan: Tatkala turun ayat “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. maka mereka segera merobek-robek kain-kain mereka dan bertudung dengannya. (Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, Bab Tafsir Surah an-Nur).

Perempuan-perempuan zaman Rasulullah SAW dengan penuh kekuatan dan ketaatan lantas mengoyak-ngoyak kain yang ada untuk dijadikan penutup aurat mereka.

Saya hanya mahu menyatakan tudung itu adalah lambang akidah.

Kenapa? Kerana tudung inilah salah satu hal yang membezakan kita dengan orang kafir.

Apa buktinya? Lihatlah apa yang terjadi di Turki. Si kafir pembela-pembela aliran Sekular mengharamkan pemakaian tudung. Apakah kita fikir mereka akan mengharamkan pemakaian tudung sekiranya tudung ini tiada nilai di dalam Islam. Isunya bukanlah kerana kain itu bernama tudung, isunya kerana pemakaian tudung itulah salah satu lambang akidah Islam. Maka untuk memadamkan cahaya akidah Islam daripada terzahir ke mata manusia, salah satu langkahnya ialah mengharamkan pemakaian tudung.

Lihat, bukankah itu menunjukkan bahawa si kafir bedebah itu turut faham bahawa tudung itu ada nilai akidah.

Sekiranya tudung itu tiada nilai di dalam Islam, nescaya si kafir itu tidak akan mengharamkan pemakaiannya. Bahkan mungkin si kafir itu akan menjadikan ia sebagai satu fesyen yang popular. Tapi kerana ia ada nilai akidah, si kafir tidak mahu menerimanya. Nampaknya si kafir ini amat memahami ayat terakhir surah al-Kafirun “Bagimu agamamu, bagiku agamaku”.

Itulah nilai tudung. Tapi nilai itu seakan hilang di bumi Malaysia tercinta ini. Kerana apa? Kerana nilai akidah pada tudung itu tidak dapat dilihat. Nilai akidah pada tudung mungkin hanya dapat dilihat apabila ia diharamkan oleh pihak-pihak kafir. Adakah kita mahu menunggu sehingga ia diharamkan di dalam negara kita, baru kita mahu memahami ia ada nilai akidah.

Mungkin, sudah tiba masanya pelajar-pelajar sekolah ditanamkan kefahaman bahawa menutup aurat itu adalah satu nilai akidah. Bukan hanya isu feqh dan hukum sahaja. Ia adalah nilai aqidah, kerana itu si kafir memusuhi sehelai kain bernama tudung itu.

Wallahu’alam.

Abu Usamah
The Authentic View Of A Boy