Samar ‘Abd Allah

Apabila saya menekan huruf-huruf di papan kekunci, perkataan yang dapat difahami muncul di skrin. Hal ini membolehkan anda, para pembaca, memahami apa yang hendak saya perkatakan.

Apabila saya berhajat untuk memeriksa e-mail, saya menekan beberapa kekunci dengan urutan tertentu, dan hal ini membenarkan saya mengakses “inbox” dan memeriksa kandungannya. Dengan cara yang sama, jiwa manusia mempunyai kekunci, dan jika kita menekannya dengan kaedah yang betul, kita akan berupaya untuk mempersembahkan diri kita dengan cara yang betul, dan bila kita berkomunikasi dengan orang lain, kita akan berupaya untuk sampai kepada titik persetujuan atau meyakinkan didalam apa yang kita perkatakan.

Berapa ramai dari kita yang berkecekapan untuk menekan kekunci yang betul? Berapa ramai dari kita yang menguasai kemahiran didalam perbualan? Sejujurnya, ramai dari kita tidak jelas dan tepat dalam apa yang kita perkatakan apabila bermkomunikasi dengan ibubapa, anak-anak, pasangan, sehingga kepada ketua dan rakan sekerja. Mengapa perkara ini berlaku?

Saya percaya ia berkaitan dengan meletakkan penekanan yang terlalu tinggi untuk meyakinkan orang lain sedangkan sepatutnya kita perlu cuba untuk membawa mereka  kepada titik persetujuan. Dengan kata lain, kita bermula dengan mengasak pendapat kita kepada orang lain sedangkan sepatutnya kita perlu memandu mereka secara beransur-ansur melalui perbahasan supaya mereka boleh sampai kepada kesimpulan mereka sendiri.

Misalnya, saya mungkin bersungguh-sungguh untuk memberitahu kamu tentang ular yang saya lihat ketika menjelaskan tentang pokok dan dinding. Pastinya kamu tidak akan dapat melihat apa yang saya lihat selagi mana kamu mempunyai dua biji mata dan akal yang waras.

a9bhrlaohjeemn..

Maaf! Adakah saya telah menekan kekunci yang salah?

Baiklah. Izinkan saya selangkah ke belakang dan cuba membawa kamu kepada kesimpulan yang saya ingin kamu semua sampai. Saya bermula dengan memberitahu kamu cerita tentang beberapa orang lelaki buta dengan seekor gajah.

Pada suatu masa, terdapat enam orang lelaki buta yang mahu “melihat” seekor gajah. Lelaki pertama menghampiri seekor gajah dan menyentuh belalainya seterusnya berkata: “Gajah serupa seperti ular.”

Lelaki kedua menyentuh kaki gajah kemudian berkata: “Bukan, ia serupa dengan pokok.”

Lelaki ketiga menyentuh sisi gajah dan berkata: “Sebenarnya, ia serupa dinding.”

Lelaki keempat menyentuh gading dan berkata: “Ia adalah tombak.”

Lelaki kelima memegang ekornya dan berkata: “Taklah, ia adalah tali.”

Lelaki buta terakhir menyentuh telinga gajah seraya menyimpulkan: “Ia menyerupai kipas.”

Sudah tentunya setiap lelaki buta tersebut hanya menghuraikan apa yang mereka alami. Jika lelaki yang memegang belalai menarik lelaki yang memegang gading, tentunya lelaki yang memegang gading akan “melihat” ular. Sekiranya keenam-enam orang lelaki buta tersebut saling bertukar posisi, setiap mereka akan dapat melihat kebenaran yang dilihat oleh lelaki buta yang lain. Mereka akan bersetuju sesama mereka, bukannya berbalah.

Pengajaran daripada kisah ini adalah, seseorang menjadi buta terhadap beberapa aspek lain bagi sesuatu kebenaran itu apabila menganggap hanya dia sahaja yang mampu melihatnya. Kita sering gagal untuk menghargai pengalaman orang lain sebaliknya sering cuba untuk memaksa kefahaman kita terhadap orang lain. Kesannya adalah kita kekal dengan pandangan kita dan orang lain kekal dengan pandangan mereka. Dialog gagal, tiada siapa yang menang, dan tiada apa yang dapat dicapai.

Untuk menghargai perspektif orang lain, kita perlu memahami latarbelakang keagamaan, nilai-nilai tradisi yang dipegang, kepercayaan-kepercayaan peribadi, dan kematangan intelektual mereka. Sudah tentu kita tidak akan dapat memahami kesemua itu kecuali kita belajar untuk menjadi pendengar yang baik dan menanamkan akhlak yang mulia ke dalam diri. Dengan cara ini, kita akan memperolehi gambaran yang jelas dari perspektif orang yang kita berbincang bersama. Cara ini memberikan kita keupayaan untuk menekan kekunci-kekunci yang betul dan dapat menghampiri jiwa-jiwa mereka, mudah-mudahan kita boleh memimpin mereka untuk melihat sebagaimana kita melihat.

Satu contoh yang baik bagi seni menekan kekunci-kekunci yang betul boleh diperolehi dari perdebatan antara Nabi Ibrahim a.s dengan kaumnya:

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). (Surah al-An’am: 76-79)

Perhatikan kaedah menyelidik yang diambil oleh baginda, bagaimana baginda mengusik sifat ingin tahu kaumnya lalu dengan melakukan perkara demikian membawa mereka kepada kesimpulan yang diharapkan. Sekarang lihat pula apa yang Nabi Ibrahim a.s. katakan kepada kaumnya setelah baginda sampai ke kesimpulan ini:

Dan dia dibantah oleh kaumnya, dia pun berkata: Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Dia telah memberi hidayat petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?

Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui? (Surah al-An’am: 80-81)

Pada keadaan yang lain, Nabi Ibrahim a.s. berhujjah dengan kaumnya dan ia adalah salah satu contoh terbaik bagi dialog yang berkesan. Perhatikan kaedah Nabi Ibrahim a.s. – bagaimana baginda mematahkan hujah dengan mempergunakan kepercayaan kaumnya, tidak dengan menggunakan kepercayaan baginda sendiri:

(Setelah dia dibawa ke situ) mereka bertanya: Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim? Dia menjawab: (Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata. Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim. (Surah al-Anbiya’: 62-64)

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Nabi Ibrahim a.s. ialah memaksa kepercayaan-kepercayaan kepada kepada orang lain boleh menghalang kita dari mencapai keputusan yang diharapkan. Berdebat dengan orang lain pada asas ideologi mereka adalah lebih efektif. Pengajaran yang paling efektif dari semua ini adalah sekiranya kita hendak berkomunikasi dengan mereka pada tahap mereka, kita terlebih dahulu mesti belajar untuk mendengar.

Sematkan dalam diri dan ingatlah perkara ini setiap kali kamu bersedia untuk terlibat didalam dialog dengan seseorang. Sentiasa beringat bahawa untuk kita memimpin orang lain melihat apa yang kita lihat, kita perlu meletakkan diri kita di tempat mereka. Hanya inilah caranya kita akan mampu menghadapi tiga halangan yang kerapkali menghalang perspektif mereka: latarbelakang agama, nilai-nilai tradisi, dan kepercayaan-kepercayaan peribadi, termasuk juga kematangan intelektual yang menjadi dasar halangan-halangan tersebut. Apabila kamu menghadapi halangan-halangan ini, pastikan supaya kamu menghargai tiga komponen lain bagi perspektif seseorang itu, dan berhati-hati agar tidak merosakkannya dalam apa cara sekalipun: fakta yang mereka miliki, maruah, dan perasaan-perasaan mereka. Ini adalah tiga perkara yang kamu perlu menangi dari mereka.

Kata-kata adalah sesuatu yang ajaib. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya, pada kepetahan bicara terdapat keajaiban.” [Sahih Muslim]

Perkataan-perkataan mempunyai potensi untuk menakluk hati dan jiwa seterusnya membawa kita kepada matlamat. Sekiranya kamu hendak menguasai keajaiban ini, kamu perlu mempelajari “mentera” yang betul, gabungan kekunci yang tepat untuk memasukkan katakunci. Hal ini hanya berlaku sekiranya kamu belajar untuk mendengar. Jadi dengar, bersimpati, fahami, dan rumuskan. Kemudian kamu boleh ambil apa yang kamu fahami dari proses mendengar dan gunakannya untuk membongkar kekunci-kekunci tersebut.

Adalah penting juga untuk kamu bersedia terlebih dahulu sebelum menceburkan diri ke dalam pertempuran intelektual. Kamu harus cuba untuk mengelakkan perdebatan secara tergesa-gesa seboleh mungkin. Cuba untuk menyusunnya terlebih dahulu supaya kamu boleh membuat persediaan awal untuknya. Kamu perlu berikan diri kamu masa yang cukup untuk mengkaji fakta-fakta dan keadaan-keadaan sebelum berbincang dengan ibubapa, kanak-kanak, pasangan, atau rakan-rakan sekerja.

Hal ini sangat penting apabila kita menyeru orang lain kepada Allah. Dalam bidang ini, menjadi satu kemestian untuk membentuk kecekapan dialog kamu mudah-mudahan kamu boleh membawa orang ramai melihat kebenaran – sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s. terhadap ahli-ahli sihir ketika baginda “mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). (Surah al-Shu‘ara’:45) Sumber: islamharini.wordpress.com