http://an-nawawi.blogspot.com


Kira-kira petang tadi ketika pergi menunaikan solat asar di sebuah masjid, sebelum solat asar berjama’ah dilaksanakan dan sebaik selepas solat sunnah tahiyatul masjid, aku duduk sebentar sambil melihat-lihat sekitar dalam masjid.


Aku melihatlah beberapa individu yang sedang menunaikan solat sunnah. Aku merasakan sesuatu yang tidak kena kepada beberapa individu tersebut. Angkat tangan hendak takbir pun seakan-akan malas dan tidak disempurnakan dengan kerelaan. Susah sangat ke? Hatiku berbicara sendiri. “Mungkin baru belajar solat agaknya..” aku meredakan prasangka.

Tapi, hatiku terus berkata-kata… Nak bersedekap ketika qiyam pun seakan-akan nak tak nak sahaja. Tangan kanan tidak digenggamkan dengan sebaik-baiknya pada tangan kirinya. Dan ketika sujudnya pula, hidungnya tidak mencecah ke lantai. Tangannya pula dihamparkan begitu sahaja dari jari hingga ke siku menyentuh lantai ketika sujudnya. Hatiku berasa tidak tenang, dan terasa mahu sahaja menegurnya. Tetapi, mengenangkan beberapa situasi lepas yang aku hadapi, membuatkan aku berfikir beberapa kali untuk menegur. Di mana aku seringkali dikatakan “busy body” dan tidak mengikuti serta memahami permasalahan setempat.

Pernah suatu ketika dahulu hendak aku menegur, “Tak pe lah dik, pak cik dah biasa solat macam ni, lebih selesa.” Ada yang lain, “Betulkanlah solat kamu tu dulu.” .

Teruskan bacaan dengan klik tajuk di atas………

Lebih membuatku senyum, “Tapi, solat ni abang belajar kat sekolah dulu memang macam ni, mana boleh salah. Rasanya adik perlu cek balik gi sekolah.”

Tapi, ada yang membuatkan hatiku tesentak suatu ketika dulu adalah apabila ada seseorang datang meneguku, “Brader, kenapa you solat jari gerak-gerak? You wahhabi ke?” Tapi, bila teringat semula, ia menjadikan aku ketawa sendiri.

Berkenaan menegur orang solat di tempat awam, di tempat yang orang tidak mengenali kita, rasanya se-akan-akan lebih mudah. Berbanding di tempat orang yang mengenali kita. Namun, bagiku, ia tetap sama-sama tak mudah. Kerana sebahagian orang ni sangat sensitif dengan teguran. Walaupun adakalanya ditegur dengan baik, ada sebahagian mereka memiliki ego yang tidak mahu tunduk. Sedaya-upaya, pelbagai falsafah dan teori dibentuk. Tapi, aku suka kepada sebahagian orang yang lebih mudah untuk berbincang dan berbual bertukar pendapat. Ia menjadikan siatuasi kelihatan lebih mesra. Berbanding orang yang sensistif, tidak boleh menerima kesilapan sendiri, agak sukar untuk memperbaiki kesalahan mereka. Nak menyapa pun fikir banyak kali.

Sedangkan di sana ada beberapa hadis berkaitan dengan pesoalan solat tersebut,

Daripada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Aku diperintahkan untuk bersujud di atas tujuh tulang (iaitu) di atas dahi (beliau turut mengisyaratkan tangannya ke hidung), dua tangan, dua lutut, dan jari-jari kaki.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 812)

Dari al-Barra’ bin ‘Azib radhiyallahu ‘anhu, “Jika kamu bersujud, letakkanlah kedua telapak tanganmu (ke lantai) dan angkatlah kedua siku kalian.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab ash-Solah, no. 494)

Dalam Riwayat lain, dari Anas radhiyallahu ‘anhu, “Janganlah seseorang di antara kalian menghamparkan kedua tangannya seperti anjing meletakkan (tangannya).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 493)

Akhirnya setelah beberapa kali menimbangkannya, aku mengambil keputusan untuk tidak menegurnya dahulu. Mungkin biarlah aku dahulu menunjukkan contoh. Dan seperti biasa, jari jemariku yang hanya mampu berbicara dengan menekan papan kekunci komputerku. Lalu hasilnya aku hamparkannya di blog peribadi ku ini dengan harapan pengalaman ini dapat dikongsikan bersama ke seluruh alam maya dan mereka yang memahami bahasa jari-jemariku.

Pengalaman ku ketika petang tersebut tidak sahaja berkisar tentang soalnya solat beberapa individu tadi. Tetapi juga tatakala mahu menunaikan solat berjama’ah. Selepas iqamah dikumandangkan, imam pun segera tampil ke hadapan dengan berkata “rapatkan saf”. Beberapa saat mengambil masa, imam membaca surah an-Naas, ta’awuzd, lalu membacakan lafaz niat, dan segera bertakbir. Untuk makluman mereka yang menatap tulisanku ini, bacaan-bacaan imam tersebut bukanlah suatu sunnah yang tsabit. Sekadar memberitahu, mungkin sama-sama boleh kita bersikap terbuka dan mengkaji. Sebenarnya, aku terasa agak pelik ketika itu, imam langsung tidak memandang ke belakang memerhatikan barisan saf-saf makmumnya. Sedangkan barisan saf tersebut sungguh tunggang langgang berdasarkan pemerhatianku.

Dengan keadaan barisan yang tidak rapat, aku cuba mengambil langkah untuk mengajak beberapa individu yang bersebelahan dengan ku untuk merapatkan saf dengan merapatkan kaki dan bahu, namun mereka seakan-akan pelik dan kembali merenggangkannya semula. Aku pun pasrah, lalu segera bertakbir mengikut imam dalam keadaan yang sedikit kecewa.

Mengapa agaknya fenomena sebegitu kerap kali berlaku hampir di setiap masjid dan surau yang aku kunjungi. Ke manakah peranan para imam, para ajk masjid, para ustaz, dan para makmum atau indvidu yang melaksanakan solat itu sendiri? Apakah mereka menganggap persoalan solat adalah suatu persoalan yang remeh-temeh? Cukup sekadar “asal solat cukuplah…” Ataukah mungkin ada suatu bentuk kefahaman solat yang lain yang aku tidak memahaminya. Dari ajaran manakah ia? Jadi, berikanlah kepada ku sumber-sumbernya.

Owh… Pening juga adakalanya…

Sebenarnya, bagi mereka yang memahami, persoalan solat adalah suatu persoalan yang tersangat-sangat besar. Malah, kedudukan solat adalah setelah mengucapnya dua kalimah syahadah di dalam rukun Islam. Malah ia merupakan salah satu lambang terbesar sebagai seorang yang beriman,

“Islam itu ditegakkan atas lima (5) perkara; mengakui bahawa tiada ilah yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 7)

Di dalam al-Qur’an Allah subhanahu wa Ta’ala menyatakan (maksudnya),

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam solatnya…” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)

Malah sebagai seorang yang beriman, yang mengerti betapa besarnya erti solat tersebut kepada dirinya, dia pasti akan mendidik dirinya agar melaksanakannya dengan sesempurna mungkin. Lalu mengajar dan mendidik ahli keluarganya untuk turut sama melaksakannya dengan sebaik mungkin.

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” (Surah Thoha, 20: 132)

“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh (7) tahun. Pukullah mereka kerana tidak melaksanakan solat ketika berusia sepuluh (10) tahun…” (Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghaliil, 1/266)

Dan solat yang terbaik dan tersahih lagi yang sebenarnya adalah, solat yang dilaksanakan berdasarkan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ini adalah sebagaimana yang dipesankan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri,

“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 604)

Tidak lain, untuk mengetahui tatacara solatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah dengan merujuk dan taat kepada hadis-hadis yang beliau nyatakan.

Ia bermulalah dari soalnya thoharah, wudhu’, soalnya pakaian, persoalan tempat solat, tatacara solat bermula dari takbirnya sehinggalah kepada salamnya, dan sehinggalah kepada sesudahnya salam yang termasuk amalan-amalan sunnahnya.

Perkara-perkara inilah yang kini semakin diabaikan dan dilupakan oleh para individu Muslim. Mengapa jika persoalan tugas di pejabat mampu dilaksanakan dengan bertungkus lumus, tetapi soalnya solat ditinggalkan keutamaannya. Mengapa soalnya pengajian dan pendidikan sains, kejuruteraan, pembinaan bangunan, kajian DNA, analisa kewangan, dan pelbagai lagi boleh dilakukan dengan penuh teliti namun solatnya terabai dan umpama tidak diberi makanan yang cukup bagi membolehkan terbinanya jasad yag sihat.

Begitulah solat. Ia dilakukan dengan ilmu dan kefahaman bagi membolehkan ia dibina dan dilaksanakan dengan penuh bermaya dan syi’ar-syi’ar agama terpancar daripadanya.

Malah, ia sebenarnya menjadi titik mula kepada pekerjaan dan perlakasanaan aktiviti yang lain. Ia merintis sebuah disiplin yang sebenar sebagai seorang mukmin yang taat dan komited terhadap setiap tugasan yang diterimanya.

“Dasar segala urusan adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, manakala puncaknya adalah jihad.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Dihasankan oleh Sheikh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghaliil, 2/138)

Ia melambangkan betapa kesungguhan seseorang tehadap amanah yang dipegangnya. Ia melaksanakannya dengan sebaik-baiknya. Ia melakukan dengan penuh kesabaran dalam apa jua keadaannya.

“Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.” (Surah al-Baqarah, 2: 45)

Namun, sungguh dikesalkan pada hari ini, lambang dan syi’ar-syi’ar ini mula ditinggalkan. Mereka menjadikan hal-hal yang lain pula sebagai syi’ar dan melupakan keutamaan yang sebenar. Meletakkan priority pada kedudukan yang terkemudian. Susunan mula menjadi terbalik. Malah mungkin menjadi tunggang langgang. Seseorang dipandang baik tidak lagi pada prinsip-prinsip agamanya. Tidak penting lagi persoalan solatnya, tetapi pekerjaannya sebagai seorang jurutera, doktor, pakar ekonomi, pakar tari, pakar musik, dan seumpamanya. Solat bukan lagi soal utama. Entah duduk di ranking ke berapa agaknya… Kenapa mind-set kita berputar sejauh itu?

Di sebahagian sudut dan kelompok, sungguh lebih dikesalkan, perjuangan jihad tanpa ketahuan pula dikehadapan melampaui segala-galanya. Sehinggakan hal keimanan dan solat menjadi kelam tidak disuarakan. Hal ini mungkin berlaku kepada kelompok yang memiliki semangat keterlampauan, namun tidak dibina atas dasar ilmu. Semangat berkobar-kobar, namun kefahaman terhadap agama sangat mengecewakan. Sewajarnya persoalan solat ini diperbaiki dengan sungguh-sungguh. Kerana, setiap hal yang besar dalam agama itu, bermula dengan dasar aqidah serta solatnya. Jika persoalan yang lebih dasar gagal diperbaiki, bagaimana pula hendak memperbaiki persoalan yang lebih rumit?

Kita lihat di masjid-masjid hari ini, ada pelbagai ragam dan gaya orang menunaikan solatnya. Ada yang tangannya tidak disedekapkan, ada yang kakinya dirapatkan, ada yang kakinya dikangkangkan melebihi kewajaran, ada yang takbirnya berulang-ulang kali untuk melaksakan solatnya, dan ada yang solat jama’ahnya hanya sekadar datang ke masjid namun ruhnya tiada. Mengapa ruhnya tiada? Tidak lain, kerana ianya tidak dibina atas dasar kefahaman yang tepat. Saf-saf solatnya juga tidak dijaga. Imamnya tidak mengambil endah soal makmumnya di belakang.

Ini yang datang ke masjid. Belum dikirakan mereka yang tidak mahu ke masjid. Dan sebahagian mereka yang langsung tidak menunaikan solat. Atau apakah mungkin mereka yang tidak mahu ke masjid akibat soalnya solat di masjid sudah menjadi tidak ketahuan kaedahnya? Manakala mereka yang tidak menunaikan solat adalah lantaran solat sudah tidak ada arahnya dan sumbernya yang benar perlaksanaannya. Tiada keseragaman, yang mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk melaksanakannya. Mereka menanyakan, apakah standardize perlaksanaan solat? Apakah cukup sekadar mulut menyatakan “kita ikut Mazhab Syafi’i”?

Ketahuilah bahawa perkara yang pertama-tama sekali dihisab bagi kita adalah persoalan solat. Ini dapat difahami dari hadis nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berikut,

“Amalan yang pertama kali ditanyakan kepada seorang hamba pada hari Kiamat kelak adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia telah beruntung, dan jika solatnya rosak, maka dia telah gagal dan rugi.” (Sahih menurut Sheikh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahaadis ash-Shahihah, 3/346)

Malah, ikatan dan simpulan Islam itu dinyatakan jika ianya mula terlerai, maka ianya akan terlerai satu demi satu dari individu atau masyarakat mukmin bermula dari hukum-hakamnya yang tertentu sehinggalah kepada yang terakhir sekali adalah solatnya. Apakah kita mahu lagi memandang enteng persoalan solat? Setelah banyak sekali persoalan yang lainnya kita merasakan sebagai berat dan seringkali terlepas begitu sahaja. Fahamilah bahawa solat adalah ikatan yang menjadi benteng dan syi’ar terakhir kita.

“Ikatan-ikatan Islam itu akan terlepas seikat demi seikat. Setiap kali ikatan itu terlepas maka mereka akan berpegang kepada ikatan yang berikutnya. Dan yang pertama sekali terlepas (ikatannya) adalah hukum-hakam, manakala yang terakhir sekali terlepas adalah solat.” (Dinilai sahih oleh Sheikh al-Albani di dalam Shahih at-Targhiib wa at-Tarhiib, 1/229)

Jadi, jika solat pun telah kita pandang remeh, ikatan apa lagi yng mahu kita pegang kemudiannya? Tanyakan lah pada pendirian dan kegfahaman masing-masing.

Dengan itu, marilah kita kembali membina kekuatan yang semakin rapuh tersebut dengan kembali melihat dan memperbaiki solat-solat kita berdasarkan sumber-sumber yang benar. Sehinggalah kita melaksanakannya sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam melasanakannya. Mengerjakannya dengan penuh semangat, khusyu’ dan tenang yang terbina atas landasan ilmu pengetahuan yang benar. Tidak lain, ia dibina berdasarkan hadis-hadis yang sahih lagi diyakini.

Kita kembali melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya. Menegakkan syi’ar-syi’ar agama bermula dari dasar dan landasan yang betul. Melaksanakannya berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Bermula dari wudhu’nya sehinggalah kepada takbir sampailah kepada akhir salamnya. Semuanya didasari hadis-hadis yang benar. Kita terapkan serta praktikkan kefahaman dan ilmu tersebut ke dalam diri masing-masing, sehinggalah kepada ahli keluarga.

Kemudian, kita melaksanakannya di masjid-masjid atau di surau-surau secara berjama’ah. Di surau dan masjid pula, para imamnya tahu tanggungjawab mereka masing-masing. Saf-saf solat kembali menjadi rapat dan teguh barisannya. Ia terbina dengan rapat, tersusun, kemas, dan betul sekaligus mencerminkan betapa teguhnya hati-hati mereka dalam kesatuan dengan disiplinnya.

Sebagaimana pentingnya saf-saf solat ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memberi tahukan kepada kita melalui hadis yang tidak kurang banyaknya yang antaranya,

“Luruskanlah saf, rapatkanlah bahu-bahu, rapatkanlah ruang-ruang (antara kamu), lembutkanlah ketika menyentuh tangan-tangan saudara kalian, dan janganlah kamu membiarkan celah-celah terbuka untuk syaitan. Barang siapa menyambung saf maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa memutuskan saf maka Allah akan memutuskannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Kitab ash-Solah, no. 666. Disahihkan oleh Sheikh al-Albani dailam Shahih Sunan Abi Daud, 1/197)

Dari Nu’man, bin Bashir, Rasulullah menyatakan (dengan mengahadap kami, ketika hendak solat) “Luruskanlah saf-saf kamu, luruskanlah saf-saf kamu, luruskanlah saf-saf kamu, Demi Allah, kamu akan meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menjadikan hati-hati kamu saling berselisih”. Aku melihat bahu saling bersentuhan, lutut dengan lutut teman sebelahnya saling bersentuhan, dan mata kaki dengan mata kaki teman sebelahnya turut bersentuhan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Kitab ash-Solah, no. 662)


Malahan di sebahagian hadis-hadis yang lain dengan jelas dinyatakan bahawa Rasulullah dan para sahabat yang lain selepasnya, sekali-kali solat berjama’ah tidak akan dimulakan selagi mana saf tidak dirapatkan. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya merapikan saf di dalam perlaksanaan solat berjama’ah.


Betapa hebatnya jika disiplin ini kembali terlaksana di setiap surau-surau dan masjid-masjid sekitar kita. Ia akan jelas menggambarkan kepada kita betapa hebatnya disiplin, kesatuan dan kecintaan kita sesama sendiri.

Bagi mereaslisasikan situasi tersebut, apa yang paling utama dan terpenting adalah dengan kembalinya kita semua kepada manhaj ilmu. Cari dan dapatkanlah sumber-sumber rujukan, buku-buku atau kitab-kitab yang sahih yang mampu menerangkan persoalan agama berdasarkan hadis-hadis yang sahih lagi jelas. Tinggalkanlah pertikaian-pertiakain dan perbahasan-perbahasan yang membelakangkan nilai-nilai ilmiyah tanpa image intelektual. Semoga dengan sumber-sumber yang sahih ini akan mampu membentuk semula daya juang dan image agama yang segar sekaligus menyerlahkan ketulenan ber-agama yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam banyak pesanan-pesananannya iaitu dengan berpegang kepada al-Qur’an dan as-Sunnah.

Semoga luahan hati ku ini mampu dibaca oleh sesiapa sahaja, sekaligus merealisasikan impian ku untuk melihat syi’ar-syi’ar agama ini ditegakkan bermula dari dasarnya yang sebenar. Kerana, hanya dengan dasar yang betul, maka cabang-cabang yang lainnya akan menjadi betul. Ia tidak lain juga, dimulakan dengan prinsip-prinsip aqidah yang betul. Apabila pengambilan agama dilaksanakan dengan dasar yang betul. Apabila priroriti dan keutamaan dikenal pasti dan diperbaiki, insyaAllah, disiplin dan perjalanan cabang-cabang dan dahan-dahan yang menjalar seterusnya akan berupaya menghasilkan bunga serta buah yang terbaik.

10:00p.m
21-May-2008

Diedit oleh zikri, boleh dihubungi di zicksi@yahoo.com