Cakap sahaja tentang virus, worm dan trojan, pasti para pembaca yang menggunakan komputer, baik komputer peribadi mahupun laptop pernah mendengar tentangnya. Tetapi bila disoal apakah perbezaan antara ketiga-tiga makhluk perosak ini, jarang ada insan yang dapat menjawabnya melainkan mereka yang berpengetahuan ataupun yang pernah bertarung dengan makhluk perosak ini bermati-matian.

Dengan itu, artikel kali ini akan cuba mendedahkan perbezaan tiga makhluk perosak ini, tetapi bukan sahaja dari sudut apa yang berlegar dalam perisian komputer anda, ianya juga berlegar di sekeliling komuniti Islam di alam maya ini seperti mana makhluk perosak.

Nama virus, worm dan trojan ini selalu diguna pakai dalam satu kategori yang sama walhal mereka ini adalah berbeza. Cuma sahaja persamaan yang dikongsi mereka ialah ketiga-tiga makhluk perosak ini mampu membuat komputer anda rosak, atau dalam erti kata lain membuatkan otak anda  jumud dan berhenti daripada berfungsi. Inilah sebab betapa pentingnya kita mengetahui perbezaan serta ciri-ciri makhluk perosak ini supaya tidak menjadi mangsa.

Golongan 1:Virus

Seperti mana jangkitan virus dalam alam offline begitulah juga fungsi virus di persekitaran komuniti Islam alam maya ini. Golongan ini wujud dalam bentuk yang pelbagai dan antara yang paling banyak berbanding makhluk perosak yang lain. Ada antara mereka yang hanya memberi pengaruh yang kecil manakala ada juga antara mereka yang mampu menjahanamkan otak anda. Mereka ini berpaut pad a file-file sedia ada dan hanya berfungsi apabila anda membuka file tersebut. Lihat sendiri bagaimana aktifnya golongan virus ini daripada reaksi dan respon mereka.

Hal yang sama berlaku dalam komuniti Islam alam maya ini terutamanya dalam keseronokan kita berforum. Apabila sesuatu topik dibuka, maka berlumba-lumbalah ahli forum tersebut memberi pandangan masing-masing terutamanya dalam hal-hal isu semasa tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tulisan mereka itu. Reaksi virus ini tidak lebih sekadar hanya ingin bergaya dengan tingkatan jumlah posting mereka, walhal idea dan solusi yang diutarakan hanya sekadar. melepas batuk di tangga. Apakah mereka menyangka tulisan mereka ini tidak akan dihisab Allah Subhanallahu Ta’ala kelak. Berfirman Allah Ta’ala di dalam Al-Quran:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya, (yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk disebelah kanan dan yang lain duduk disebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir”<!–[if !supportFootnotes]–>[1]<!–[endif]–>

Kenapa golongan seperti ini layak digelar virus? Hal ini kerana mereka ini menunjukkan reaksi apabila ada topik baru dibuka, begitu juga virus di dalam computer anda. Mereka ini hanya aktif apabila ada topik baru dibuka dan ianya hangat untuk dibincangkan. Pandangan-pandangan mereka terhadap sesuatu isu kadang-kala menjerumuskan topik perbincangan ke arah ghibah. Hal-hal gosip artis,baik rumah tangga artis mahupun penceraian artis, hal-hal politik dan sebagainya. Hatta apabila sesuatu perkara itu memang benar-benar berlaku, ianya tetap ngibah atas saudara seagama dan lebih teruk jika hal itu ditokok tambah sehinggaenjadi fitnah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada para sahabat, “Tahukah kalian apa itu ghibah ?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. “Beliau berkata, “Ghibah ialah engkau menceritakan hal-hal tentang saudaramu yang tidak dia suka” Ada yang menyahut, “Bagaimana apabila yang saya bicarakan itu benar-benar ada padanya?” Beliau menjawab, “Bila demikian itu berarti kamu telah melakukan ghibah terhadapnya, sedangkan bila apa yang kamu katakan itu tidak ada padanya, berarti kamu telah berdusta atas dirinya

Dalam beberapa topik-topik agama terutamanya di dalam forum, golongan virus ini selalu menjadi agen dalam mempengaruhi pengetahuan penyoal. Sama seperti virus yang memberi kesan kepada program-program di dalam komputer anda, apabila seseorang menyoal, golongan virus ini akan mencelah dan memberi pandangan logik mereka sehinggakan si penyoal akan terpedaya dengan ilmu logik melampau golongan virus ini. Akhirnya, jawapan ilmu logik golongan virus yang melampaui ilmu wahyu ini akan menyesatkan si penyoal dari terus menggunakan kewarasannya dalam kehidupan beragama.

Ada seorang laki-laki yang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Siapakah orang muslim yang paling baik ?’Beliau menjawab, “Seseorang yang orang-orang muslim yang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya”. [2]<!–[endif]–>

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan hadits tersebut. Beliau berkata, “Hadits ini bersifat umum bila dinisbatkan kepada lisan. Hal itu kerana lisan memungkinkan berbicara tentang apa yang telah lalu, yang sedang terjadi sekarang dan juga yang akan terjadi saat mendatang. Berbeza dengan tangan. Pengaruh tangan tidak seluas pengaruh lisan. Walaupun begitu, tangan  juga mempunyai pengaruh yang luas sebagaimana lisan, yaitu melalui tulisan. Dan pengaruh tulisan juga tidak kalah hebatnya dengan pengaruh tulisan”.

Atas sebab itu kita disuruh berjaga-jaga dengan tulisan-tulisan kita yang mungkin membawa kita kejelekan atas diri kita sendiri kelak. Adalah lebih baik kita berdiam diri dari memberi apa-apa reaksi daripada berlagak pandai. Tidak ada salahnya dengan berdiam diri daripada mengeluarkan pandangan logik yang akhirnya menyelewengkan kefahaman saudara seagama kita. Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah bersabda.

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam.” <!–[if !supportFootnotes]–>[3]<!–[endif]–>

Al-Imam Abu Hatim Ibnu Hibban Al-Busti berkata:

“Orang yang berakal selayaknya lebih banyak diam daripada bicara. Hal itu kerana betapa banyak orang yang menyesal kerana bicara, dan sedikit yang menyesal kerana diam. Orang yang paling celaka dan paling besar mendapat bahagian musibah adalah orang yang lisannya senantiasa berbicara, sedangkan fikirannya tidak berjalan” .<!–[if !supportFootnotes]–>[4]<!–[endif]–>

Maka ada baiknya kita diam,daripada menyibukkan diri kita memberi respon yang tidak patut. Isu semasa terutamanya dalam hal berkaitan agama tidak boleh berdasarkan sangkaan atau ingatan yang samar-samar atas apa yang dipelajari sewaktu sekolah rendah, ianya mesti tertegak dengan nas dan dalil. Oleh itu, berhati-hatilah kita dari menjadi sebahagian dari golongan virus ini.

Golongan 2: Worm

Worm dan virus adalah sama dalam beberapa fungsi. Ia boleh dikategorikan sebagai adik kepada virus. Worm ini merebak dari sebuah komputer ke komputer yang lain. Sedikit berbeza dengan virus, worm mampu berhijrah seorang diri tanpa memerlukan bantuan daripada sesiapa. Golongan worm ini mengambil peluang daripada file dan apa jua medium penyebaran maklumat yang diguna oleh sistem komputer anda. Antara sebab bahayanya worm ini mereka mampu menduplikasi diri mereka dalam sistem. Hanya dengan satu penyebaran hasil daripada komputer anda, duplikasi worm berlaku dan boleh mencecah sehinggakan jutaan salinan dan membuat satu kesan buruk yang lebih besar.

Contoh mudah ialah apabila worm itu merebak melalui kesemua list di dalam alamat e-mail anda.Dan apabila perkara ini berterusan, worm yang merebak melalui network akhirnya memamah sistem memori komputer anda, hasilnya komputer anda akan berhenti berfungsi. Yang terbaru, worm yang telah menjangkiti sistem komputer anda sehinggakan ianya boleh dikawal oleh orang luar sewenang-wenangnya.

Worm dalam komuniti Islam ini penulis ibaratkan seperti mereka yang gemar menyebar tanpa memeriksa, baik melalui e-mail mahupun mesej-mesej ringkas di buletin dan sebagainya. Golongan ini seperti mana worm beroperasi, mereka mampu menduplikasi diri mereka melalui orang lain yang turut sama menyambung usaha penyebar asal dalam menjadikannya satu rantaian mesej. Kenapa golongan ini digelar worm? Bukan sahaja kerana minat mereka menyebar mesej tetapi kerana mesej yang disebar tidak diteliti kesahihannya. Hasilnya mesej itu mempengaruhi mereka yang menerimanya. Berdalilkan hadith Sampaikanlah dariku walau satu ayat maka golongan worm ini menghalalkan cara mereka walaupun isi sebaran itu ada kebaran gkalian terseleweng akibat tidak diperiksa sumber isinya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk mengetahui kebenaranya) dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu suatu kaum dengan perkara yang tak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan<!–[if !supportFootnotes]–>[5]<!–[endif]–>

Ayat di atas jelas menyatakan ‘wahai orang-orang beriman’, maka setiap muslim yang beriman wajib menyelidik berita yang sampai kepada mereka agar ianya tidak menjadi satu dusta, baik berkaitan saudara seagama kita apatah lagi jika melibatkan individu yang bertanggungjawab menyebarkan risalah Islam ini yakni Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam.

Sesiapa yang membuat dusta ke atasku maka siaplah tempat duduknya di dalam nereka.<!–[if !supportFootnotes]–>[6]<!–[endif]–>

Ayat Quran dan hadith di atas yang sepatutnya tersemat dalam sanubari golongan worm ini, bukan semata hadith Sampaikanlah dariku walau satu ayat. Golongan worm ini senang menduplikasi dan mempengaruhi orang lain untuk menyertai mereka. Golongan worm ini gemar mengakhiri mesej-mesej mereka dengan ugutan jika tidak turut serta menyebarkannya. Worm sebegini akhirnya akan memadamkan sistem komputer atau web browser anda dari terus berfungsi, dalam erti kata lain secara tidak lansung menyebabkan otak-otak saudara seagama mereka penuh dengan mesej-mesej karut dan akhirnya memadamkan sistem otak dari terus berfungsi dengan rasional.

Golongan 3 : Trojan Horse


Di antara ketiga-tiga makhluk perosak ini, Trojan Horse adalah merupakan yang paling berbahaya. Nama makluk perosak ini diambil bersempena sejarah penggunaan kuda kayu yang berisikan tentera Yunani di dalamnya dan disangkakan tidak berbahaya. Mereka yang menerima makluk perosak bernama Trojan ini akan terpedaya untuk membukanya kerana ia hadir dalam bentuk yang tidak berbahaya.

Apabila terpedaya dengan Trojan, ia akan menyebabkan berlakunya beberapa perkara, kesannya mungkin kecil seperti mengubah desktop, mengubah icons dan sebagainya. Tidak mustahil juga kesan yang lebih buruk yang boleh mengakibatkan kerosakan serius seperti memadam serta mematikan file-file dan sistem komputer anda. Apakah ada juga golongan Trojan Horse di sekeliling komuniti Islam di alam maya ini?

Golongan ini penulis perhatikan banyak berlegar di forum-forum dan blog-blog. Mereka ini dapat dikenal pasti melalui hasil-hasil karya dan tulisan mereka. Ada yang aktif dan ada juga yang pasif. Ustaz trojan satu gelaran yang layak buat golongan ini, bukan disebabkan keberanian mereka ibarat tentera-tentera Yunani yang menyorok di dalam kuda kayu, tetapi akibat mereka membawa fungsi yang sama seperti mana makhluk perosak trojan horse. Sama yang dimaksudkan ialah ianya hadir dalam keadaan seolah-olah tidak berbahaya.

Ustaz trojan ini sedar akan kemerosotan fikrah ummat Islam akibat suasana budaya keilmuan yang semakin merosot. Tetapi bantuan yang mereka berikan dalam menjawab soalan umpama satu perancangan berencana untuk memasung fikrah ummat Islam agar terus tumpul. Jika ada yang bertanyakan dalil hujah maka ustaz trojan akan menyuruh agar bersyukur dan merasa cukup dengan kata-kata ulama’ sedia ada. Ini kerana anggapan golongan ini menyangka bahawa dalil akan memesongkan pemikiran orang awam dari hukum yang sebenar. Mereka pantang apabila ada pihak yang kononnya mempunyai dalil yang lebih kuat. Bagi ustaz trojan, ulama’ kata hitam, orang awam juga mesti ikut hitam,jangan dipersoal kenapa ianya hitam kerana mempersoal sesuatu kebenaran dianggap tidak menghormati para ulama’.Persoalannya apakah benar kita dilarang mempersoal kebenaran?

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا وَاعْلَمْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan (Ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Allah berfirman: “Belum yakinkah kamu ?” Ibrahim menjawab: “Aku Telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: “(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): “Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bagian dari bagian-bagian itu, Kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera.” dan Ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”<!–[if !supportFootnotes]–>[7]

Pemikiran sempit sesetengah ustaz Trojan ini kadang-kala mengongkong pemikiran orang awam, wujud sangkaan yang menebal di hati mereka apabila jika ada yang mempersoalkan bukti dan hujah sesuatu perkara, mereka dikatakan cuba berlagak menjadi mujtahid dan berpeluang terjerumus kearah membina hukum sendiri. Ustaz Trojan barangkali lupa bahawa Islam menuntut kita melakukan sesuatu dengan pengetahuan supaya menimbulkan kepuasan fikiran dan kenikmatan jiwa dalam beramal.

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” <!–[if !supportFootnotes]–>[8]

Ustaz Trojan ini risau dengan usaha mengasah minda orang awam dengan penjelasan berdalil, orang awam mampu mengetahui metod pendalilan dan kelak membantu mereka untuk menilai hujah dengan rasional. Perkara sebegini tidak boleh diterima oleh golongan ustaz Trojan kerana ia akan mengugat ‘title’ ustaz maya mereka. Mereka mahukan orang awam jenis ‘Pak Turut’. Apa jua usaha menggilap fikrah ummat Islam dikatakan pemecah belah masyarakat kerana adanya potensi untuk orang awam murtad daripada mazhab sedia ada, seolah-olah mereka pengamal mazhab tulen dalam semua hal baik ibadah dan muamalah.

Perkara yang perlu ditekankan di sini ialah apakah kita mengikut mazhab sebagai satu ajaran atau ianya hanya medium yang diguna pakai untuk memahami agama dengan lebih mendalam? Adakah Imam Syafie rahimahullah yang wajib kita ikut atau metodologinya dalam beragama yang perlu kita ikut? Tugas golongan agamawan untuk menggilap fikrah ummat Islam yang semakin merudum ini bukan dengan menjadikan mereka ‘Pak Turut’ akan tetapi perlunya golongan agamawan mengajar orang awam berfikir dengan kaedah atau metodologi yang betul. Tidak perlu orang awam yang kurang ilmu agamanya sampai ke tahap membahas, mengkaji dalil dan bagaimana mengeluarkan hukum, cukup sekadar membuat mereka mengetahui dalil di sebalik hujah yang diguna pakai oleh para ulama’. Ini membantu penilaian mereka dalam beramal dengan sesuatu amalan.

Golongan agamawan juga seharusnya menggalakkan orang awam berusaha mencari agamanya, bukan memberi mereka soalan bocor dan menyuap mereka setiap kali disoal. Hanya ustaz Trojan sahaja yang sukakan cara ini kerana ‘title’ ustaz maya mereka dirasakan berfungsi. Apabila fikrah ummat Islam mundur, hadith-hadith lemah dan sikap ustaz Trojan menolak hadith-hadith sahih yang tidak sejalan dengan tujuan dan mazhab mereka tidak akan dipertikaikan oleh orang awam.

Dengan cara ini ustaz Trojan mampu mengawal otak orang awam dengan mewujudkan backdoor seperti mana makhluk perosak Trojan Horse ini berfungsi. Perancangan ini dilakukan secara berencana untuk memasung fikrah ummat Islam agar terus tumpul. Otak dan fikrah yang tumpul pasti tidak akan berupaya untuk menilai dan membuat perhitungan tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Akhirnya pemilik otak yang tumpul amat senang untuk dicucuk dan ditarik hidung mereka saat Antivirus dan Firewall tidak dapat lagi mengatasi mereka.

Kesimpulannya, para pembaca sudah cukup bijak untuk menilai jenis-jenis makhluk perosak yang anda hadapi. Ternyata semua makhluk perosak ini tidak boleh dipandang remeh kerana ianya lambat laun mampu menyebabkan sistem anda tergendala. Semoga kita tidak menjadi korban makhluk-makhluk perosak ini dari memasuki sistem beragama kita. Jika tidak, keputusan untuk format otak anda telahpun terlambat.

Wallahu’llam.

Ibn Yusof
8.19 a.m
25 Jun 2008 / 20 Jumada Al-Thani 1429
www.ibnyusof.blogspot.com
_________________________________________
[1] Qaf 50:16-18
[2] Hadith Riwayat Bukhari dari Abdullah Ibn Umar r.a. dan Hadith Riwayat Muslim dari Jabir r.a.
[3] Hadith Riwayat Bukhari no. 6475 dan Muslim no. 74.
[4] Raudhah Al-‘Uqala wa Nazhah Al-Fudhala hlm. 45
[5] Al-Hujurat 49:6
[6] Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Menurut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin Hadith ini diriwayatkan oleh sepuluh para imam dan ianya mutawatir, ruj: Muqaddimah Miftah al-Jannah m.s. 31, `Abd ar-Rahman Fakhuri, ctk. Dar as-Salam, Mesir.
[7] Al-Baqarah 2:260
[8] Al-Isra’ 17:36