Mutiara Nasihat Luqman al-Hakim Di Dalam al-Qur’an

http://an-nawawi.blogspot.com

Luqman, sebuah nama besar yang tercatat di dalam kitab suci al-Qur’an. Menamai sebuah surah yang terkandung di dalamnya sebanyak tiga puluh empat (34) ayat. Yang di dalam surah tersebut terkandung beberapa untaian nasihat yang begitu utama lagi agung.

Siapakah Luqman?

Majoriti ulama menjelaskan bahawa beliau adalah seorang hamba Allah yang soleh dan kuat beribadah. Beberapa riwayat turut menjelaskan bahawa beliau adalah seorang yang memiliki tubuh fizikal yang sasa dan kuat. Dia merupakan seorang hamba berketurunan Habsyi. Di dalam al-Qur’an (31: 12), Allah menjelaskan bahawa beliau adalah di antara hamba-Nya yang diberikan hikmah.

Hikmah di sini membawa maksud kepada kefahaman yang mendalam dan ilmu yang begitu luas serta cara penyampaian yang begitu baik. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

1 – Syirik Sebagai Sebesar-besar Kezaliman

Allah berfirman (maksudnya):

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di ketika beliau memberi pelajaran kepadanya: “Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (mensyirikkan) Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.” (Surah Luqman, 31: 13)

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan bahawa Luqman adalah insan yang sangat terpuji dan Allah telah menganugerahkan hikmah kepadanya. Yang kemudiannyanya Allah menyatakan pula bahawa dia memberi pelajaran untuk anaknya yang merupakan manusia yang paling beliau sayangi serta paling berhak mendapat didikan darinya yang dengannya beliau memberi beberapa untaian nasihat yang sangat penting.

Maka, nasihat yang paling utama yang beliau sampaikan untuk anaknya adalah berupa nasihat supaya mentauhidkan Allah dengan menjauhi segala bentuk kesyirikan. Beliau menjelaskan bahawa betapa syirik adalah suatu perbuatan yang merupakan sebesar-besar kezaliman.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam firman-Nya (mkaksudnya):

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisaa’, 4: 48)

Di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa dosa syirik adalah sebuah dosa yang tidak terampunkan. Sekiranya manusia itu mati sebelum sempat bertaubat dari perbuatan syiriknya, maka tiada ruang baginya untuk diampuni. Berbeza dengan dosa-dosa yang selainnya, di mana Allah masih memberi ruang kepada pelakunya diampuni.

2 – Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa

Setelah menasihati kepada anaknya supaya menjauhi perbuatan syirik, beliau menasihati anaknya agar sentiasa berbuat kebaikan dan berbakti kepada kedua ibu bapa. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat kebaikan kepada dua orang ibu-bapanya; di mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang ter-amat, dan menyapihnya (mencerai susu) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat engkau dikembalikan.” (Surah Luqman, 31: 14)

Di dalam ayat yang lain, Allah turut menjelaskan perkara yang sama iaitu supaya menjauhi kesyirikan sekaligus memerintahkan agar sentiasa berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa sebagaimana berikut:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, 17: 23)

Dan Allah juga memerintahkan supaya anak-anak sentiasa mendoakan kebaikan buat ibu bapanya di dalam ayat seterusnya (maksudnya):

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah (doakanlah): “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil”.” (Surah al-Isra’, 17: 24)

Berdasarkan ayat 14 dari Surah Luqman tersebut, Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa Allah sengaja menyebutkan perjuangan dan pengorbanan seseorang ibu di dalam mengurus anaknya. Penderitaan dan pengorbanan seseorang ibu dalam melindungi anaknya adalah di antaranya seperti tidak boleh tidur dengan selesa di setiap siang dan malam (bertujuan menyusuinya dan menjaganya – pen.), ini adalah semata-mata mahu memberi penjelasan betapa besarnya jasa seseorang ibu. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Walaupun begitu, persoalan tauhid tetap adalah sebuah keutamaan dan memiliki kedudukan yang sangat tinggi. Allah memerintahkan supaya kita tidak mengikuti kehendak ibu bapa kita sekiranya dia meminta kita berlaku syirik kepada Allah. Cumanya, perhubungan dengan keduanya tetap perlu dijaga dengan sebaik mungkin. Ini adalah sebagaimana yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala jelaskan bahawa (maksudnya):

“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan (mensyirikkan) terhadap Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan layanilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Ku-lah tempat kembalimu, maka Ku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman, 31: 15)

Dari sini juga, ayat ini turut menjelaskan betapa tingginya akhlak seseorang muslim itu terhadap kedua ibu bapanya biar pun mereka mengajak kepada perbuatan yang tidak baik. Dalam keadaan seperti itu, Allah tetap memerintahkan supaya setiap anak menjaga hubungan kepada kedua ibu bapanya dengan sebaik mungkin. Iaitu dengan mencerminkan akhlak seorang muslim sejati yang taat di dalam bertauhid. Di mana di antara hikmahnya adalah ia mampu melahirkan rasa tertarik sang ibu dan ayah dengan keindahan Islam itu sendiri.

3 – Kekuasaan Allah Dan Hari Perhitungan

(Luqman berkata): “Wahai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui”.” (Qs. Luqman, 31: 16)

Pada ayat ke-16 dari surah Luqman, Allah menjelaskan bahawa Luqman kembali memberikan nasihat kepada anaknya berkenaan dengan persoalan tauhid, bahawa sekecil apa pun perbuatan seseorang, sama ada berupa ketaatan mahu pun kemaksiatan, pasti Allah Subhanahu wa Ta’ala akan membalasnya. Perbuatan baik, maka balasannya juga baik. Jika perbuatan tersebut buruk, maka balasan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala juga demikian. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman (maksudnya):

“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang sedikit pun, dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala)-nya, dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan. (Surah al-Anbiya’, 21: 47)

Maka, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari pandangan Allah ‘Azza wa Jalla. Oleh kerana itu, di akhir ayat 16 surah Luqman ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (mejelaskan):

“… Sesungguhnya Allah Maha Halus (teliti) lagi Maha Mengetahui.”

4 – Perintah Menegakkan Solat, Menegakkan Kebenaran, Dan Bersabar Dengan Musibah

Allah Subhanahahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

(Luqman berkata) “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)

Allah menjelaskan bahawa Luqman memerintahkan anaknya supaya mengerjakan solat yang mana solat adalah merupakan ibadah yang paling utama bagi seseorang muslim. Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa perintah Luqman supaya anaknya menegakkan solat tersebut adalah dengan melaksanakannya dengan seluruh tatacaranya (sebagaimana solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam – pen.), rukun-rukunnya, dan waktu-waktu yang telah ditetapkannya. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Berkenaan penekanan solat dan pendidikan mengenainya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berpesan kepada kita (maksudnya):

“Perintahkan anak-anak kamu untuk melakukan solat bermula ketika mereka mencapai umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika tidak mahu melakukan solat) ketika berumur sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Lihat Shahihul Jami’, no. 5868)

Selanjutnya, beliau memerintahkan anaknya supaya melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar (menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran). Perlaksanaan ini sebenarnya membawa seseorang agar mengetahui perkara-perkara yang ma’ruf (baik) dan yang mungkar. Sekaligus, dalam menegakkannya akan membawa pelakunya supaya sentiasa melazimi sifat sabar. Dari sini, ia turut menzahirkan bahawa perbuatan amar ma’ruf nahi mungkar ini agak berat untuk dilaksanakan dan menuntut kesabaran serta kefahaman yang tinggi.

5 – Tidak Sombong, Angkuh, dan Membanggakan Diri

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

(Luqman berkata) “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. (Surah Luqman, 31: 18)

Dari sini, maksudnya adalah supaya jangan kita memalaingkan wajah dari seseorang di ketika sedang berbicara dengannya, atau di ketika mereka sedang berbicara dengan kita, sehingga ia menampakkan kesombongan dan keangkuhan. Tetapi yang sewajarnya adalah kita diperintahkan supaya sentiasa merendahkan diri/hati, serta sentiasa menampakkan wajah yang mesra/ramah terhadap mereka. (rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Di dalam ayat yang lain, Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (Surah al-Isra, 17: 37)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak (akan) masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walau pun sekecil zarah”. (Kemudian) ada seseorang yang berkata: “Sesungguhnya seseorang senang jika bajunya bagus dan kasutnya baik,” (maka) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah, dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”. (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis yang lain, dari hadis Haritsah bin Wahb al-Khuza’i radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“… Mahukah aku beritahu kamu, siapakah penghuni neraka?” Mereka menjawab: “Tentu”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Setiap orang yang kasar, tamak haloba, dan yang sombong”. (Hadis Riwayat Muslim)

6 – Bersederhana Ketika Berjalan Dan Lembutkan Suara

“Dan bersederhanalah kamu dalam berjalan serta lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman, 31: 19)

Luqman menasihati anaknya supaya bersifat tawadhu’ (rendah hati), tenang, tidak tergesa-gesa dan tidak terlalu lambat dalam berjalan. Dia juga menasihati anaknya supaya tidak berlebih-lebihan dalam berbicara, dan tidak meninggikan suara untuk sesuatu yang tidak ada manfaatnya di dalam apa jua perbualan/bicara. Sehinggakan di sini beliau mengambil perumpamaan bagi suara yang buruk adalah seperti suara keldai.

Seburuk-buruk perumpamaan bagi orang yang meninggikan suaranya di ketika berbicara adalah seperti keldai ketika bersuara. Dan adalah suara seperti ini sangat-sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Penutup

Nasihat-nasihat Luqman yang dibawakan di atas tadi adalah sangat bermanfaat dan berguna. Sehingga ianya dirakamkan di dalam kitab suci al-Qur’an al-‘Azim. Ada beberapa hikmah dan nasihat-nasihat lain yang baik yang cukup banyak selain apa yang telah dibawakan. Namun, cukuplah dulu dengan beberapa nasihat yang utama di atas untuk sama-sama kita renungi dan mengambil pengajaran darinya.

Wallahu a’lam…